BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, February 14, 2010

10 Perkara Batal Islam.

Akibat daripada orang Islam tidak memahami aqidah Islam yang sebenar, kadangkala mereka melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan Islam mereka, sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak faham ataupun tidak tahu.

Maka kita dapati dalam masyarakat kita, sekalipun ramai orang yang mengetahui apa itu perkara yang membatalkan wudhu', apa itu perkara yang membatalkan solat(sembahyang), yang membatalkan haji, yang membatalkan puasa, tetapi malangnya mereka tidak tahu apakah perkara yang membatalkan dua kalimah syahadah yang telah mereka ucapkan, ataupun membatalkan Islam itu sendiri.

Jika dilihat dari segi aturan- haji, zakat, puasa, solat, semuanya itu berada selepas daripada ucapan syahadah. Bagaimana seorang muslim memahami perkara-perkara yang membatalkan solatnya, membatalkan zakatnya, atau membatalkan puasanya atau hajinya, tetapi dalam masa yang sama dia tidak mempelajari apakah perkara yang membatalkan dua kalimah syahadahnya, yang sekaligus boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan Islamnya.

Inilah penjajahan pemikiran yang diterima oleh kita. Di masjid dan surau, guru-guru lebih menumpukan kepada soal fiqah, soal-soal batalnya solat, soal-soal batalnya puasa, sehingga kadangkala mereka terlupa untuk mengajar murid-murid mereka ataupun orang ramai apakah perkara yang boleh membatalkan Islam seseorang.

Dan kesan batalnya Islam itu lebih besar daripada batalnya sembahyang ataupun batalnya puasa, kerana batalnya sembahyang dan puasa boleh diganti, tetapi batalnya Islam menyebabkan seseorang itu murtad dan terkeluar daripada Islam.

Ramai para pemikir Islam memikirkan hal ini, sehingga maulana Abdul Hasan'Ali An-Nadwi menulis sebuah buku atau risalah, yang mengingatkan orang Islam, sehingga beliau menamakan risalah itu sebagai Riddah la Aba Bakrin laha("Murtad yang tidak ada Abu Bakar menghadapinya").

Pada zaman dahulu, apabila berlakunya murtad, Allah S.W.T telah membangkitkan Abu Bakar as-Siddiq, yang merupakan khalifah Rasulullah S.A.W, yang bertanggungjawab menghadapi golongan murtad. Pada zaman ini ramai orang Islam yang murtad, dan tidak ada siapa pun yang peduli. Bahkan murtad itu dilakukan secara terang-terangan.

Apabila kita menyedari hal ini, maka semua para ulama dan semua kita yang sedar hendaklah berusaha memahami aqidah Islam. Saya begitu tertarik dengan apa yang dilakukan oleh bekas mufti Arab Saudi, iaitu Sheikh Abd Aziz Abdillah bin Baz(rahimullah) yang sudahpun meninggal.

Apabila mereka mengeluarkan risalah untuk jemaah haji dan umrah yang datang untuk menunaikan haji dan umrah, yang dinamakan sebagai Dalilul hajji wal-mu'tamir("panduan Haji dan Umrah"), beliau memasukkan di dalamnya terlebih dahulu perkara-perkara yang membatalkan Islam, kerana menyedari bahawasanya seseorang apabila menunaikan haji, sedangkan Islamnya batal, hajinya tidak memberi manfaat kepadanya. Kerana syarat kepada kesahihan amal, ataupun syarat diterimanya sesuatu amal soleh, yang pertama hendaklah betul aqidahnya: kedua, ikhlas kepada Allah S.W.T: dan ketiga, menepati apa yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.

Saya akan menyebut sepintas lalu perkara-perkara yang menjadi penyebab utama di zaman ini, yang disenaraikan di dalam risalah tersebut, yang menebabkan seseorang batal Islamnya, yang dinamakan sebagai nawaqidul Islam )perkara-perkara yang membatalkan Islam).


1. Syirik;
2. Perantara;
3. Enggan mengkafirkan;
4. Yakin yang lain;
5. Membenci Syari'at;
6. Mempersenda Islam;
7. Sihir;
8. Bantu kafir musuhi Islam;
9. Kecualikan dari Syari'at;
10. Berpaling dari agama.


*Note: Sumber rujukan dari Dr Mohd Asri Zainul Abidin, 10 Perkara Batal Islam & Apa Itu Syirik, 2007, Wholesale-Mart Business Point S/B, Kuala Lumpur; ms.20-23)

No comments:

Post a Comment